Politeknik Kota Kinabalu Lantik 51 Panel Penasihat Industri

Politeknik Kota Kinabalu Lantik 51 Panel Penasihat Industri

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat, Datuk Ag. Buhtamam Ag. Mahmun berkata Politeknik Kota Kinabalu (PKK) telah melantik 51 panel Penasihat Industri bagi tahun 2022.

Katanya, pelantikan itu bertujuan mewujudkan platform kepada para panel menyumbangkan idea dan cadangan penambahbaikan sistem pengajaran serta pembelajaran PKK.

“Melalui program ini, kita dapat memastikan sistem di PKK kekal relevan, berkualiti dan menepati keperluan pihak industri…

“Daripada 51 panel yang dilantik, 11 merupakan lantikan baharu, 33 panel lama sementara tujuh lagi merupakan ahli panel yang diperbaharui keahlian mereka.

“Saya yakin dan percaya gabungan pakar industri dan akademik akan membuahkan hasil yang produktif sekaligus melahirkan graduan berkualiti,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Jawatankuasa Panel Penasihat Industri Bagi Program Pengajian di Politeknik Kota Kinabalu di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Penasihat Industri PKK yakin bahawa program pengajian di PKK masih relevan berikutan kadar kebolehpasaran graduan PKK mencapai 89.8 peratus pada tahun 2021.

Dalam majlis berkenaan, Ag. Buhtamam turut menyampaikan Watikah Pelantikan kepada panel-panel yang dilantik.Hadir sama, Pengarah PKK, Dullah Muluk; Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PKK, Ts. Noranazizi Abdullah dan Ketua Unit Industri Korporat Dan Kebolehpasaran PKK, Ts. Dr. Jason William Vitales.