KUALA LUMPUR – Bergema desakan untuk Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatanya dari Ahli Majlis Tertinggi hingga ke Ketua Pemuda UMNO.
Panggilan itu dibuat selepas kekalahan BN dalam PRU-15 yang dilihat akan melumpuhkan parti berkenaan buat suatu masa yang lama jika kekal dengan pucuk pimpinan sedia ada.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya berkata pendekatan itu sama seperti yang diambil Datuk Seri Najib Tun Razak ketika kekalahan BN dalam PRU14.
“Rakyat tidak mahu melihat sebarang isu berkaitan integriti yang dikaitkan dengan Ahmad Zahid sekali gus turut memberi kesan kepada calon-calon lain yang berwibawa turut tewas dalam PRU15…
“Mereka perlu ambil tanggungjawab ekoran kekalahan ini dan beri laluan kepada pemimpin lain mengetuai UMNO sebelum mengadakan sebarang perbincangan mengenai hala tuju parti itu selepas ini,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam satu hantaran di Facebook berkata memohon perkara yang sama.
Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin berkata ramalan banyak pihak yang parti itu akan kecundang disebabkan oleh Ahmad Zahid ternyata benar.
“Saya tahu apabila bercakap begini ada yang tidak bersetuju, tapi saya perlu bercakap benar walaupun pahit kerana jika tidak buat perubahan sekarang kita akan terus kecundang pada Pilihan Raya Negeri tahun hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan pula terus meletak jawatannya susulan prestasi buruk gabungan itu dengan menggangap Zahid bertanggungjawab ke atas kegagalan itu.





