Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu Esok Penentu Lantikan Perdana Menteri Ke-10

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu Esok Penentu Lantikan Perdana Menteri Ke-10

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Istana Negara akan menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok (Khamis) memandangkan masih tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Istana Negara dalam satu kenyataan media berkata telah menerima menghadap wakil-wakil Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak secara berasingan di Istana Negara pada pagi hari ini.

Sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional secara berasingan bermula pada jam 4.30 petang Selasa.

“Adalah dimaklumkan bahawa proses yang tersebut di atas adalah selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri…

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqomah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai. Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta teliti,” kataya.

Dalam kenyataan yang sama, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk berkata Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka.

“Maka, terserah kepada Wakil Rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata…

“Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan kesejahteraan negara yang tercinta ini,” tambah beliau.