Taman Tun Fuad Stephens Bakal Ditutup Selama Dua Tahun

Taman Tun Fuad Stephens Bakal Ditutup Selama Dua Tahun

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Taman Tun Fuad Stephens di Bukit Padang sini akan ditutup kepada orang awam bagi tujuan kerja-kerja penaiktarafan bermula Sabtu depan (10 Dis) sehingga 18 September 2024.

Mayor Bandaraya Datuk Noorliza Awang Alip berkata ia melibatkan kawasan aktiviti rekreasi (trek jogging).

“Penutupan di atas faktor keselamatan awam dan kelancaran pelaksanaan projek serta bagi mematuhi peraturan Akta Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (OSHA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Walaubagaimanapun, Dewan Putra dan Restoran Kampung Nelayan, Restoran Lake View dan tapak penjaja sementara masih dibenarkan beroperasi dan boleh dikunjungi orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya taman tersebut merupakan tanah gazet (26-1974) Fish Lake and Botanical Garden dan projek yang dibangunkan selaras dengan itu.

“Projek ini merupakan sebuah projek kerajaan persekutuan bagi membangunkan dan menaiktaraf kawasan seluas 44.13 ekar iaitu tertumpu di kawasan sekitar trek jogging dan tasik sedia ada dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. 

“Pihak Jabatan Landskap Negara (KPKT) adalah merupakan Pengurus Projek dan juga Pegawai Penguatkuasa bagi projek ini,” tambahnya.

Noorliza berkata kawasan rekreasi dan tasik akan dikekalkan malah akan ditambah baik dengan kemudahan baharu dan juga akan menonjolkan identiti, budaya dan keunikan tumbuhan di negeri Sabah.

“Pembangunan dan naik taraf ini dijangka akan menjadi salah satu daya tarikan baharu di Kota Kinabalu apabila ia siap kelak…

“Ianya akan dibuka semula kepada orang awam untuk menjalankan aktiviti rekreasi seperti biasa tanpa bayaran masuk ke taman seperti sedia kala,” tambahnya.