Muhyiddin Nafi Seleweng Dana Kerajaan RM600 Bilion

Muhyiddin Nafi Seleweng Dana Kerajaan RM600 Bilion

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau telah menyeleweng dana kerajaan bernilai RM600 bilion.

Menurutnya, beliau menjangka angka terbabit yang dipetik merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksanakan semasa menjadi Perdana Menteri bagi membantu rakyat dan perniagaan terjejas ketika tempoh pandemik.

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini…

“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

“Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dalam laman media sosial Facebook sebagai respon tindakan Ahli Parlimen Hulu Langat daripada parti Pakatan Harapan (PH) yang membuat laporan polis mendakwa beliau menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Selain itu, beliau turut berkata sekiranya perkara tersebut terjadi, ia bakal diketsahui
menerusi penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun.

“Malah Bank Negara Malaysia (BNM) tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu.

“Tetapi tidak ada apa-apa pun,” ujarnya.

Justeru Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpesan kepada ahli-ahli politik PH dan UMNO supaya janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baharu berusia beberapa hari ini.

Selain itu katanya, beliau masih belum melihat sebarang idea bernas daripada kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Awak dah jadi kerajaan, ‘act like a government’.

“Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya.