DOHA, QATAR – Kylian Mbappe dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2022 manakala Lionel Messi dipilih memenangi Bola Emas iaitu pemain terbaik Piala Dunia 2022 di Qatar.
Penyerang Perancis berusia 23 tahun itu mengakhiri kejohanan dengan menjaringkan lapan dalam tujuh penampilan selepas meledak hatrik pada aksi final menentang Argentina, awal pagi tadi.
Messi dan Mbappe terikat dengan lima gol sebelum aksi final itu tetapi Messi mendahului disebabkan lebih banyak melakukan umpanan sepanjang kejohanan.
Walau bagaimanapun, Mbappe akhiri dengan berkelebihan satu gol ke atas Lionel Messi yang menjaringkan gol keenam dan ketujuhnya pada aksi final berkenaan.
Lionel Messi pula dipilih memenangi Bola Emas selepas membantu Argentina muncul juara dengan menewaskan Perancis pada aksi final.

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 35 tahun itu muncul pemain pertama memenangi dua kali anugerah berkenaan selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik pada Piala Dunia 2014.





