Pembangkang Perlu Dilayan Sebagai Saingan Profesional, Bukannya Dibuli – Penganalisis

Pembangkang Perlu Dilayan Sebagai Saingan Profesional, Bukannya Dibuli – Penganalisis

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Amalan membuli Ahli Parlimen pihak pembangkang dengan menafikan mereka tiada diberi peruntukan tidak seharusnya berterusan dalam pentadbiran kini.

Menurut seorang penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar, setiap Ahli Parlimen sebaliknya perlu diberikan hak masing-masing.

Memetik sumber Berita Harian, menurutnya ini termasuk peruntukan sewajarnya tanpa mengira sama ada wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang.

“Sepatutnya sebagai Ahli Parlimen, mereka perlu diberi hak masing-masing. Tidak boleh hanya kerana menjadi pembangkang, hak mereka dinafikan.

“Ia akan memberi kesan negatif kepada kerajaan sedia ada, seolah-olah tidak percaya kepada Ahli Parlimen (tidak diberi peruntukan dan melantik penyelaras Parlimen),” katanya.

Memetik sumber, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pernah mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Shahidan bagaimanapun berkata akan membuat perbincangan dengan pihak berkenaan bagi memastikan isu ketidakadilan dapat itu diselesaikan.

“Janganlah kita mengulangi apa yang pernah dilakukan sebelum ini, supaya kita boleh melihat blok pembangkang yang benar-benar dapat memberi semak dan imbang kepada kerajaan. Saya juga kurang bersetuju jika penyelaras Parlimen dilantik,” kata Rusdi.

Mengikut sumber yang sama, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata kerajaan perlu menunjukkan contoh baik dengan tidak menafikan reformasi institusi yang dibawanya selain melayan pembangkang sebagai saingan profesional.

“Jika tidak diberikan peruntukan, ia bukan saja menganiayai rakyat yang memilih (Ahli Parlimen) tetapi juga menafikan hak serta kepentingan sesuatu kawasan itu.

“Selain itu, ia boleh memberi persepsi tidak baik terhadap kerajaan. Saya berpandangan jika dakwaan Shahidan itu benar, ia adalah budaya politik yang tidak baik,” katanya.