KOTA KINABALU, SABAH – Cadangan membuka cawangan Bank Rakyat di pekan Pitas antara perkara yang dibincangkan oleh Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick.
Dalam satu kenyataan bersama, menurut Verdon, keperluan terbabit adalah mustahak kerana pekan Pitas tidak mempunyai sebarang perkhidmatan bank sehingga hari ini.
Ini sekaligus menyukarkan penduduk di daerah tersebut yang terpaksa berurusan di pekan Kota Marudu untuk mendapatkan perkhidmatan bank.
Susulan itu, Ewon menyatakan kesediaan mempertimbangkan keperluan tersebut mengambil kira ketersediaan bangunan yang bersesuaian untuk digunakan serta capaian perkhidmatan oleh Bank Rakyat.
Bank Rakyat adalah satu daripada 10 agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia.
Turut dibangkitkan oleh Verdon ialah keperluan menaiktaraf kawasan tamu penjaja dan peniaga kecil di pekan Kanibongan, Pitas, Kudat dan Banggi serta pembangunan keusahawanan dan koperasi di parlimen Kudat.
Keperluan-keperluan tersebut dibangkitkan oleh Verdon semasa pertemuan beliau dengan Ewon di Kota Kinabalu lewat petang kelmarin.
Dalam pertemuan ituj uga, Ewon mengulangi komitmen beliau agar kementerian dan agensi-agensi kementerian memberi fokus tambahan kepada pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil terutamanya di daerah-daerah luar bandar di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.





