SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan telah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua atlet bola tampar perempuan di Melaka yang ditampar jurulatih sehingga tular di laman media sosial.
Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pertemuan terbabit bertujuan mendapatkan maklum balas ibu bapa pelajar tersebut berkaitan insiden yang menimpa anak mereka.
” ‘Concern’ kita sangat besar berkenaan isu ini, dan keutamaan kita adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut.
“Kita (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kita tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, di sini, hari ini.
Fadhlina turut menambah maklum balas yang diterima daripada ibu bapa serta pemegang taruh yang lain akan dilihat secara keseluruhan.
Menurutnya lagi, siasatan akan diteruskan khususnya yang berkait rapat dengan integriti dan tatatertib.
Katanya, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga telah melaksanakan sesi kaunseling terhadap dua remaja berkenaan selain turut turun berjumpa ibu bapa mereka.
Selain itu, beliau juga berkata KPM juga
boleh melaksanakan siasatan menyeluruh menerusi bahagian intergriti dan tatatertib.