KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Jasnih Daya, sedia dipecat dari UMNO Sabah kerana mengisytiharkan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata beliau sekali telah diminta pucuk kepimpinan Barisan Nasional Sabah untuk menandatangani Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk mengubah Kerajaan Negeri yang ada kepada Kerajaan diterajui BN dan Parti Warisan di samping meletak Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar sebagai Ketua Menteri.
“Mungkin ramai yang tertanya sebagai salah seorang daripada ADUN UMNO mewakili Pantai Dalit, dimanakah saya berdiri dikala BN Sabah bertindak untuk mengubah Kerajaan Negeri…
“Saya telah mengambil keputusan tidak menyokong perubahan Kerajaan kerana beberapa faktor yang diambil kira daripada sudut professional dan peribadi.
“Tetapi hakikatnya saya akan terus menyokong Kerajaan yang ada dibawah Kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Nor selagi saya bergelar ADUN Di Pantai Dalit.
“Saya faham akan risiko tindakan saya ini dan bersedia dan terbuka untuk menerima hukuman atau dipecat dari Parti UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jasnih berkata untuk tidak mengubah prinsipnya iaitu untuk bersengkongkol dengan Warisan yang ditentang ketika Pilihan Raya Negeri ke-16.
Beliau juga percaya Kerajaan di bawah kepimpinan Hajiji adalah seratus peratus untuk rakyat negeri Sabah dan patut diberikan peluang untuk menamatkan tempoh kerajaan yang tinggal dua tahun lagi sehingga tamat penggal tanpa menyusahkan rakyat.
“Hidup ini hanya sekali, saya membuat keputusan untuk bukan sahaja menjaga prinsip saya tetapi juga maruah keluarga dan bangsa saya…
“Justeru, sebelum saya dipecat dari UMNO, saya ingin berterima kasih diatas sokongan kepada ketua-ketua cawangan selama saya menjadi Timbalan Ketua Cawangan Umno Tuaran Dan mengharapkan semua sentiasa dilindungi Allah SWT,” katanya.





