Program Juara Petanque Putatan 2025 Cungkil Bakat Belia dan Kukuh Perpaduan Komuniti

Program Juara Petanque Putatan 2025 Cungkil Bakat Belia dan Kukuh Perpaduan Komuniti

0
SHARE

PUTATAN: Pertandingan Petanque Daerah Putatan 2025 berjaya mencipta suasana meriah dan penuh semangat kesukanan apabila lebih 70 peserta dari seluruh daerah menyertai kejohanan dua hari yang berlangsung di Arena Bakut, Putatan baru-baru ini.

Pertandingan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Kelab Sukan Sendil Boules, Kelab Sukan Boules Pasir Putih, dan Kelab Boules Ketiau itu menyaksikan penyertaan 42 peserta bagi kategori lelaki dan 30 peserta dalam kategori wanita, khusus bagi golongan belia berumur 13 hingga 20 tahun.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, program seumpama ini bukan sahaja menjadi pentas mencungkil bakat baharu dalam sukan petanque, malah berfungsi sebagai platform memupuk perpaduan serta gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.

“Sepanjang kejohanan, para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi dan disiplin yang membanggakan. Ini membuktikan bahawa sukan petanque mempunyai potensi besar untuk terus diperkembangkan di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam kategori lelaki, Mohamad Syahzamil Madarin Syahar Alli dinobatkan sebagai juara, manakala Ainol Shahramadan Abu Bakar muncul naib johan, dan tempat ketiga disandang oleh Mohammad Haiqal.

Bagi kategori wanita, kejuaraan menjadi milik Leeyana Fitrialesya Kamrudin, diikuti Noresh Shafamarwa Nazbi di tempat kedua dan Nur Shaqila Sari di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah berupa wang tunai dan hamper telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Belia Sabah DUN Petagas, Saiful Bahri Bahrum yang mewakili Mohd Isquzawan.

Program ini mencerminkan usaha berterusan untuk merakyatkan sukan dan membina masyarakat yang lebih sihat, bersatu dan aktif.