KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun menyangkal dakwaan yang menyatakan bahawa Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah kehilangan ‘locus standi’ setelah keluar daripada BERSATU.
Masidi berkata dakwaan bahawa Hajiji kini “tidak berparti” adalah tidak berasas sama sekali kerana beliau dan bekas ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) BERSATU telah menjadi ahli GRS melalui keahlian langsung.
“Adalah tidak wajar bagi pihak yang tidak bertanggungjawab membuat andaian semata-mata dengan memberikan maklumat tidak berasas berkenaan status GRS kononnya hanya parti gabungan dan bukanlah sebuah parti politik.
“GRS telah didaftar dan diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan penggunaan logo GRS telah dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan anggota parti GRS terlibat dalam proses pilihanraya.
“Ini bermakna GRS merupakan sebuah parti politik mengikut takrifan parti politik seperti yang dinyatakan didalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Perkara 160, sesebuah parti politik adalah mana-mana pertubuhan yang menurut mana-mana tujuan atau kaedahnya dan mengadakan peruntukan bagi pertubuhan itu menyertai, melalui calon-calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri termasuklah gabungan pertubuhan sedemikian yang telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang persekutuan.
Masidi menegaskan bahawa selaras dengan takrifan itu, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan GRS yang membolehkan anggotanya melibatkan diri dalam sistem demokrasi berperlembagaan dan proses pilihanraya, maka GRS adalah sebuah parti politik yang bersifat individu dan bukanlah bersifat persatuan atau gabungan parti-parti politik semata-mata.
“Justeru itu, sebarang dakwaan tentang kedudukan Hajiji telah kehilangan ‘locus standi’ sebagai Ketua Menteri Sabah adalah dibuat secara melulu dan tanpa merit,” katanya.
Dengan itu, beliau menegaskan bahawa Hajiji masih mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.





