Perwartaan Sabah Dan Sarawak Menjadi Wilayah Perlu Dilaksana Seperti Dalam MA63

Perwartaan Sabah Dan Sarawak Menjadi Wilayah Perlu Dilaksana Seperti Dalam MA63

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpandangan perwartaan Sabah dan Sarawak menjadi wilayah perlu dilaksanakan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hari ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata status Sabah dan Sarawak perlu kekal sebagai negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wan Junaidi mendakwa pewartaan dua negeri itu sebagai ‘wilayah’ dikhuatiri mengundang masalah lebih besar.

Mengulas berkenaan perkara itu, Shafie berkata autonomi dan hak tertentu dua negeri berkenaan dalam MA63 merupakan entiti yang telah sedia ada.

“Di Parlimen, sebenarnya Rang Undang-Undang (RUU) 112D telah diluluskan, tiada keperluan (pewartaan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah).

“Itu memang salah satu daripada kelainan dan entiti sedia ada untuk membolehkan supaya Sabah dan Sarawak merupakan wilayah, ia bukan sebuah negeri.

“Kerana apa kita nakkan supaya Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai wilayah? Kena ada beberapa peruntukan dan itulah perbezaannya di antara beberapa negeri yang ada,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut memberi contoh Sabah dan Sarawak mempunyai undang-undang imigresen serta bidang kuasa hak tertentu berbeza dari negeri di Semenanjung.

“Jadi kita perlu mempunyai asas dari segi perlembagaan. Itu jangan dipertikaikan.

“Nanti kelak ada isu timbul seperti kes mahkamah tentang tuntutan ini, kenapa orang Semenanjung mempunyai sekatan tertentu masuk ke Sabah, peguam tidak boleh mengamalkan guaman mereka di negeri Sabah dan sebagainya.

“Ini memang di antara peruntukan perjanjian MA63. Jadi kerangkanya untuk membolehkan wilayah itu entitinya di peringkat awal kerana MA63 jug melihat perjanjian antara wilayah tanah Semenanjung dan kerajaan Borneo Utara.Waktu itu, kerajaan pemerintahan British di Borneo dan Sarawak berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina WARISAN Bersama Datuk Junz Wong bertempat di Pejabat WARISAN Tanjung Aru, di sini, hari ini.