MEMBAKUT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif akan terus memberi fokus terhadap pembangunan ekonomi dan pendidikan daerah ini apabila diwartakan sebagai daerah penuh kelak.
“Seperti sebelum ini, saya akan terus memberi fokus dalam bidang pendidikan, keilmuan dan pembangunan ekonomi masyarakat di kawasan kita apabila daerah ini diwartakan sebagai daerah penuh.
“Kerana bagi saya, pada asasnya pendidikan dan ilmu pengetahuan amat penting dan berguna untuk seseorang individu untuk terus maju kehadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Prisma Peringkat DUN Membakut sesi 2023 bertempat di SMK Membakut, di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan status perwartaan daerah Membakut sebagai daerah penuh beliau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu berkata proses persempadanan telah selesai dilakukan.
“Sekarang dalam peringkat pewartaan dan kita tunggu pewartaan. Persempadanan juga telah selesai.
“Mudah-mudahan apabila sudah ada pewartaan, kita akan memohon kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mewujudkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sendiri, mudah-mudahan dapat dipertimbangkan,” katanya.





