BANGI, SELANGOR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa isu integriti sentiasa dijamin disamping menjadi keutamaan bagi penghasilan pelbagai bentuk ujian untuk tujuan peperiksaan utama di sekolah.
Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata dakwaan menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tidak seharusnya timbul.
“Kita sudah memberikan penjelasan yang cukup jelas, bahawa proses ujian ini iaitu merakam sudah dilaksana lebih awal dan tidak timbul isu Tiktoker terbabit.
“Integriti ini menjadi isu penting sebab itu di peringkat Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan KPM, kita memastikan isu integriti ini berjalan dengan mengambil kira semua aspek. Keabsahan, kesahihan dan kredibiliti suara yang dirakam itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi tinjauan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Semalam, Lembaga Peperiksaan (LP) menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan turut menafikan dakwaan menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi UMBI SPM 2022.
LP memaklumkan pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti serta mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris.
Disamping itu, Fadlina turut berkata pihaknya menerima baik segala aduan berkenaan isu terbabit dan akan menambah baik proses pelaksanaannya pada masa akan datang.
“Saya ambil maklum semua aduan terbabit. Kita akan tambah baik dari semasa ke semasa. Sebab ini sudah berlaku lama proses merekod ini sebelum (dibangkitkan) Tiktoker ini lagi,” katanya.
Perihal UMBI SPM 2022, yang berlangsung pada 16 Februari lalu, tular di media sosial apabila segelintir pihak atau individiu mempersoal kredibiliti pelontar audio yang didakwa adalah pempengaruh TikTok manakala calon peperiksaan pula berdepan masalah ketika ujian kerana pertuturan individu terbabit tidak jelas dan laju.
Sementara itu, menyentuh isu sistem pendataan bagi peperiksaan yang didakwa guru sering terganggu, Fadlina menjelaskan, KPM sudah memberi autonomi kepada guru sama ada mahu menggunakan secara di luar talian atau dalam talian.
“Kita sudah beri opsyen kepada guru dan autonomi juga berjalan. Kita sudah minta semua maknanya guru untuk menggunakan autonomi itu sama ada untuk menggunakan secara ‘offline’ atau ‘online’.
” ‘Template’ juga sudah diedarkan dan sehingga kini, kita maklum ramai sekolah sudah menerima slip keputusan (peperiksaan) dan untuk sistem yang lain juga kita akan pantau dari semasa ke semasa untuk memastikan kelancarannya,” katanya.





