SELEPAS TARIK SOKONGAN, KDM UMUM SOKONG KM HAJIJI

SELEPAS TARIK SOKONGAN, KDM UMUM SOKONG KM HAJIJI

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan  menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Presidennya, Datuk Peter Anthony menjelaskan keputusan tersebut diambil selepas mempertimbangkan situasi politik di Sabah, baru-baru ini disamping mengatakan ia juga demi kepentingan rakyat negeri ini.

Katanya, kemelut politik di Sabah yang berlaku baru-baru ini wajar dijadikan sebagai
pengajaran untuk terus memajukan negeri Sabah.

Susulan itu, Peter berkata KDM secara sebulat suara memberi sokongan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu tanpa sebarang syarat.

“Jadi saya bersama-sama dengan pimpinan tertinggi diperingkat KDM membuat keputusan memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah bagi menerajui pimpinan tertinggi diperingkat negeri ini.

“Setakat ini, diperingkat KDM, kami tidak ada ada syarat untuk memberi sokongan ini. Apa yang paling penting bagi kita ialah usaha kami untuk sama-sama membangunkan negeri Sabah dan membantu masyarakat terutamanya pengundi kami.

“Jadi kami berharap pengumuman sokongan hari ini akan membolehkan kemelut politik di Sabah akan reda… begitu juga dengan kedudukan kepimpinan diperingkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bertempat di ibu pejabat KDM, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Peter turut berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Hajiji untuk mempertimbangkan menerima atau menolak sokongan KDM terhadapnya.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan, keterbukaan Ketua Menteri Sabah sama ada mahu menerima sokongan kami atau tidak.

“Tapi di peringkat kita, kita akur dengan keputusan Perdana Menteri oleh kerana di peringkat Persekutuan kita adalah kerajaan dan di Sabah ini Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan KDM telah menarik sokongan terhadap kepimpinan Hajiji selepas Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan perkara yang sama.