PAPAR, SABAH – Masalah teknikal di peringkat kerajaan China melibatkan pasport menghalang lebih ramai penduduknya untuk ke luar negara.
Ini sekaligus mengakibatkan kedatangan semula pelancong dari negara berkenaan ke Sabah tergendala.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Christina Liew walau bagaimanapun berkata sektor pelancongan Sabah tidak terhad kepada pelancong China sahaja.
“Kita juga mengalu-alukan kedatangan pelancong dari serata dunia. Tahun ini Sabah akan meriah dengan aktiviti pelancongan.
“KePKAS juga akan mengadakan siri jelajah ke beberapa negara bagi menarik minat pelancong untuk ke Sabah.
“Dalam masa terdekat ini, kami akan ke China untuk membincangkan sambungan semula penerbangan terus ke Sabah seperti sebelum pandemik COVID-19 termasuk syarikat Shanghai dan Fujian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Solidariti Etnik dan Perayaan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2023 di sini, semalam.
Katanya, program yang menyatukan 35 kumpulan etnik dan 217 subetnik dalam Sabah itu adalah bagi memperkasakan ekonomi, budaya dan pendidikan.
Ia selari dengan usaha KePKAS untuk mempromosikan suku kaum etnik di Sabah yang unik di mata dunia pada tahun ini.





