KOTA KINABALU, SABAH – Masalah pencapaian internet luar bandar khususnya di kawasan Beaufort perlu diatasi dengan segera bagi melancarkan urusan seharian penduduk.
Perkara ini disuarakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Aminah Aching dalam perjumpaan singkatnya bersama Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamamed Fadzil di Parlimen, semalam.
“Pencapaian internet adalah satu keperluan, justeru dengan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin pencapaian internet kawasan luar bandar khususnya di Beaufort mampu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Beaufort itu berkata terdapat beberapa buah kampung antaranya di Batu 60 Halogilat dan kampung terpencil masih belum menikmati capaian internet yang memuaskan.
Katanya, ianya bukan sahaja menjadi masalah kepada penduduk kampung tapi memberikan kesan kepada pelajar untuk mencari sumber rujukan secara atas talian.
“Saya berharap Kementerian Komunikasi dan Digital dapat menyelasaikan isu capaian internet kerana ia menjadi keperluan bukan sahaja memudahkan komunikasi malah melancarkan urusan penduduk sekitar.
“Saya merayu supaya perbanyakkan menara telekomunikasi di kawasan ini. Banyak urusan sekarang memerlukan capaian internet yang baik,” katanya.
Menurut Aminah, pihak Menteri Komunkasi dan Digital mengambil maklum dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu.
Ketika ditanya mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anawar Ibrahim semalam, Aminah menyifatkan belanjawan tersebut sebagai belanjawan “Cakna” kepada keperluan rakyat.
Katanya peruntukan pembangunan yang disediakan untuk Sabah dan Sarawak memerlukan pelaksanaan yang lebih efektif bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan sasaranya mencapai matlamat dan jadual yang ditetapkan.
“Jika ini dapat diselaraskan dengan baik dan teratur ianya akan mencapai sasaran yang diharapkan dan rakyat tidak akan menunggu lebih lama untuk melihat sebarang perubahan dari segi pembangunan insfrastruktur dan pembangunan yang lain,” katanya.





