LAGI SEORANG ADUN WARISAN UMUM SERTAI GAGASAN RAKYAT

LAGI SEORANG ADUN WARISAN UMUM SERTAI GAGASAN RAKYAT

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Petagas dari Parti Warisan (WARISAN), Datuk Awang Ahmad Sah mengumumkan telah keluar dari parti untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.

Awang yang merupakan bekas Ketua Penerangan WARISAN itu berkata beliau mengambil keputusan terbabit selepas berbincang dengan barisan pemimpin bahagian secara sebulat suara.

“Pada hari ini, saya bersama semua AJK bahagian, ketua wanita, ketua wirawati, AJK wira serta ahli keseluruhan 90 cawangan WARISAN di Putatan mengumumkan meninggalkan WARISAN dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di The Palace Hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang memaklumkan beliau mengambil masa selama tiga bulan berfikir mengenai keputusan terbabit dan juga berpendapat ia merupakan langkah tepat bagi membantu rakyat khususnya di Petagas.

“Saya bukan orang kaya. Sebagai ADUN, saya juga tiada masalah teruskan politik saya. Dua tahun setengah lagi umur saya juga sudah mencapai 63 tahun.

“Saya perlu fikir masalah rakyat, masalah pemimpin parti, jentera parti dan rakyat yang beri kemenangan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Jadi atas dasar itu saya nekad keluar dan sertai Gagasan Rakyat. Saya jumpa Hajiji dua kali dan terakhir pada Jumaat lepas mengenai kerjasama dengan Gagasan Rakyat,” katanya.

Disamping itu, Awang juga menyatakan keikhlasan beliau menyertai Parti Gagasan Rakyat demi rakyat tanpa mengharapkan sebarang balasan atau wang tunai.