SIPITANG: Seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memukat ikan bersama rakan-rakannya di Kampung Banting, Sungai Megalong pada petang Khamis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, mangsa dikenali sebagai Punggut Madin disedari hilang dari pandangan semasa sedang menarik pukat kira-kira jam 3.30 petang.
Panggilan kecemasan diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang pada jam 3.32 petang, dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan oleh seramai 10 anggota yang terdiri daripada enam anggota BBP Sipitang dan empat anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Zon Beaufort.
“Operasi diketuai oleh Syahdennie Alidinsah, manakala Ketua Balai BBP Sipitang, Calvin Joe Jeafery, turut dimaklumkan dan bersedia untuk dihubungi bagi maklumat lanjut.
“Pasukan bomba bertindak mendapatkan maklumat terperinci daripada rakan-rakan mangsa sebelum memulakan pencarian di lokasi terakhir mangsa dilihat serta di sepanjang aliran sungai,” menurut kenyataan tersebut.
Turut serta dalam operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal kawasan dan memberi sokongan keselamatan.
Sehingga kini, mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR dijangka diteruskan sehingga maklumat baharu diperoleh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada berhampiran lokasi kejadian diminta untuk tidak mengganggu operasi dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh pihak JBPM.