KOTA KINABALU, SABAH – Dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa tindakan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meninggalkan Bersatu menjejaskan kestabilan politik Sabah adalah hipokrit kerana itulah yang dilakukan partinya sejak mereka kalah dalam pilihan raya Sabah pada 2020.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ceasar Mandela Malakun berkata sejak hari pertama kerajaan GRS-Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan Warisan yang malang, parti Shafie telah merancang untuk menjatuhkan kerajaan Sabah, sama seperti apa yang mereka lakukan terhadap kerajaan BN Sabah pada tahun 2018.
“Berkali-kali mereka menyebarkan khabar angin bahawa ADUN ini dan ADUN itu akan meninggalkan gabungan GRS-BN untuk membentuk kerajaan negeri dengan Shafie sebagai ketua menteri…
“Saya rasa ia adalah permainan Warisan untuk memberi harapan kepada Adun mereka dan menghalang mereka daripada meninggalkan parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ceaser berkata beliau tidak hairan langsung apabila Warisan kini mencipta satu lagi helah untuk menggugat kestabilan kerajaan, kali ini, dengan mempersoalkan kesahihan ketua menteri dan kerajaan Sabah.
“Kami sedia maklum bahawa tuduhan mereka atau seperti yang diistilahkan oleh Shafie, ‘kebimbangan’, langsung tidak berasas.
“Tetapi mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjejaskan kestabilan kerajaan semata-mata untuk naik ke atas,” katanya.
Beliau berkata Shafie dan partinya tidak henti-henti menyerang pemimpin GRS dan BN, baik dari segi politik mahupun peribadi, untuk menjadikan rakyat menentang Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Mereka memukul dada mereka, mengisytiharkan bahawa mereka adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang tulen dan bahawa mereka akan memperjuangkan hak Sabah.
“Kemudian mereka pergi membuka cawangan di Tanah Melayu, tetapi tidak pernah sekali pun menyebut hak Sabah semasa berkempen di sana…
“Naratif Warisan sentiasa mengenai maklumat yang salah dan memanipulasi fakta untuk menguntungkan parti dan pemimpin. Mereka tidak mempedulikan implikasi pembohongan hanya memanggilnya politik,” katanya.
Itulah sebabnya, kata beliau, bahawa rakyat Sabah harus meneliti ayat-ayat yang keluar dari mulut pemimpin Warisan.
“Kata-kata itu kedengaran bagus, tetapi ia penuh dengan pembohongan dan separuh kebenaran, seperti epal beracun,” katanya.
Malah, Ceaser berkata kerajaan GRS-BN adalah stabil seperti dahulu dan tidak timbul persoalan mengenai kesahihan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
“GRS ialah parti yang mempunyai 30 ADUN ditambah lagi dengan 6 ADUN mesra GRS. Rakan kongsi kita BN Sabah mempunyai 17 ADUN manakala 7 ADUN Pakatan Harapan Sabah telah memberikan sokongan mereka kepada Hajiji.