KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini yang bertemakan ‘Embrace Equity’ (menghayati ekuiti) penting bagi mencapai perubahan dan meningkatkan status wanita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang berkata demikian dalam satu kenyataan Hari Wanita yang disambut semalam.
“Ini memerlukan semua pihak untuk bersikap adil, menerima perspektif dan pengalaman yang berbeza supaya dapat mencapai kejayaan bersama.
“Kesaksamaan yang mana wanita diberi sumber atau peluang yang sama tidak lagi mencukupi. Kita perlu menghayati erti ekuiti kerana wanita mempunyai keadaan yang berbeza dan perlu diperuntukkan sumber dan peluang tepat yang diperlukan bagi mencapai hasil yang diingini,” katanya.
Beliau berkata sambutan Hari Wanita penting kerana dapat memberitahu semua orang di seluruh dunia bahawa sumbangan, pengorbanan dan usaha wanita dalam semua bidang perlu dihargai dan diraikan.
“Sempena Hari Wanita Antarabangsa adalah diharapkan agar deraf Dasar Keterangkuman Gender dapat kelulusan untuk digunapakai oleh kerajaan Sabah untuk membantu menyeimbangkan dan meningkatkan perkembangan pembangunan wanita Sabah di masa hadapan.
“Selain itu, Undang-undang Perkahwinan Bawah Umur juga adalah salah satu usaha yang perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat di Sabah.
“Harapan saya agar pindaan undang-undang ini dapat diluluskan pada tahun ini bagi membantu mengurangkan perkahwinan awal dikalangan komuniti kita.
“Pembangunaan yang baik perlu bermula dengan kesedaran yang kecil tetapi boleh memberi impak yang besar di masa yang akan datang,” katanya.





