KPDN Sabah Keluarkan Kompaun Bernilai RM47,200, Rampasan Lebih Sejuta Sejak Januari 2023

KPDN Sabah Keluarkan Kompaun Bernilai RM47,200, Rampasan Lebih Sejuta Sejak Januari 2023

0
SHARE
Salahuddin
Salahuddin (tengah) memeriksa harga ayam yang dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kompaun sebanyak RM47,200 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,050,392 sejak Januari tahun ini.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata 302 kes melibatkan pelbagai akta dibawa perundangan dihasilkan setelah 16,285 premis telah diperiksa di seluruh Sabah.

Beliau berkata demikian setelah melakukan sesi walkabout di Pasar Besar Kota Kinabalu, sini, semalam.

“Tujuan utama sesi walkabout ini diadakan adalah bagi meninjau tahap pematuhan peniaga ke atas penentuan harga maksimum bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam (PHMAT) dan pada masa yang sama bagi memantau keberadaan bekalan barang-barang perlu dan kedudukan harga semasa bagi persediaan menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba.

”Menjelang sambutan bulan Ramadan, Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.

“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.

Beliau berkata langkah-langkah itu juga mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika.

Selain itu, Salahudiin berkata KPDN Sabah telah melantik 170 peruncit dan 89 pemborong daerah terpilih di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas.

“Kedudukan bekalan barang keperluan asas berdasarkan peruncit dan pemborong yang di lantik di setiap daerah di Sabah ini akan menjadi penanda aras ke atas bekalan barang keperluan asas di daerah-daerah berkenaan,” katanya.