KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah menyifatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) hanya janji kosong dan tidak pernah ditunaikan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya akan memasukkan jawatan TPM dari Sabah ke dalam manifesto BN.
Disamping itu, Bung Moktar turut menyatakan janji terbabit akan dilaksanakan sekiramya BN menang secara dominan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kali ini.
“PH gagal tunaikan dan hanya janji kosong…
“Tapi dalam konteks Sabah ini, apa yang dikatakan akan dikotakan dan BN Sabah akan menyediakan bakal TPM yang lebih berwibawa serta lebih fokus kepada tugas sebagai TPM.
“BN Sabah akan ditunaikan dan urusan untuk pelantikan itu akan lebih dipermudahkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Ketua Biro Polisi DAP Sabah, Chan Foong Hin yang mendakwa jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak merupakan idea PH.
Dilaporkan, Foong Hin juga mendakwa perkara tersebut telah dibincangkan sebagai manifesto mereka sebelum BN membuat pengumuman mengenainya.
Dalam pada itu, Bung Moktar turut menambah dengan adanya jawatan TPM dari Sabah adalah bagi menentukan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat Sabah.
“Kouta jawatan TPM dari Sabah ini juga adalah bagi memastikan kuasa diberikan kepada Sabah bagi menentukan hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Sabah.
“Tidak ada gunanya ada TPM tapi tiada peranan dan kuasa untuk menentukan pembangunan di Sabah,” katanya.
Sebelum itu, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Bung Moktar memasukkan jawatan TPM dari negeri ini dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.
Beliau turut mencadangkan agar jawatan terbabit bukan saja mewakili pemimpin dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung.