KOTA BELUD, SABAH – UMNO Sabah bahagian Kota Belud bakal membuat laporan polis susulan menerima makluman berhubung kain rentang yang mengandungi mesej mengaitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Ralhman Dahlan.
Ketuanya, Fadli Juanas dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan menjelaskan mesej berunsur bantahan atau penolakan terhadap pemimpin UMNO ini kononnya disuarakan bagi pihak ahli UMNO dari kalangan kaum Bajau dan Iranun di Kota Belud.
“UMNO Sabah Bahagian Kota Belud memandang serius terhadap perkara ini dan menafikan sekeras-kerasnya keterlibatan UMNO dalam insiden ini…
“Tindakan sebegini jelas amat tidak demokratik dan bertentangan dengan prinsip keterbukaan yang menjadi nilai dan pegangan di dalam parti UMNO.
“Demi menjaga nama baik parti dan seluruh keahlian UMNO di Kota Belud, saya meminta agar tindakan yang tidak bertanggungiawab ini disiasat dan laporan akan dibuat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Fadli turut mengingatkan dan menyeru agar seluruh jentera BN khususnya UMNO Kota Belud di pelbagai peringkat kekal fokus serta siap siaga dalam misi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang nanti.