Wujud Keperluan Tambah Doktor Pakar, Kakitangan Kesihatan Di Hospital Tawau – MP...

Wujud Keperluan Tambah Doktor Pakar, Kakitangan Kesihatan Di Hospital Tawau – MP Tawau

0
SHARE

TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk menambah doktor pakar dan kakitangan kesihatan di sini, berikutan hospital baharu yang akan beroperasi bulan depan.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, Hospital Tawau ketika ini memerlukan lebih ramai kakitangan kesihatan bagi memenuhi keperluan jumlah pesakit setempat.

Katanya, ramai pesakit terpaksa dihantar ke Kota Kinabalu terutamanya yang memerlukan rawatan pakar kerana Hospital Tawau ketika ini kekurangan tenaga pakar.

“Isu ini sudah banyak dibangkitkan pada sidang Parlimen agar pihak KKM mengambil maklum dan memberi perhatian mengenai keperluan penambahan kakitangan di Hospital Tawau.

“Hospital baharu itu memerlukan kira-kira 1,000 kakitangan kesihatan, namun saya difahamkan hanya 280 jawatan yang akan diluluskan.

“Justeru, setelah saya bangkitkan isu berkenaan baru-baru ini, pihak KKM berjanji akan menambah bilangan petugas kesihatan di Hospital Tawau dari secara berperingkat,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Wad Kanak-Kanak dan merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hospital Tawau, pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, kekurangan kemudahan rawatan terutamanya Pengimej Resonans Magnet ataupun Magnatic Resonance Imaging (MRI) Scan juga perlu diambil perhatian oleh pihak KKM.

“Semasa melawat di Hospital Tawau, saya dapati masih banyak lagi kekurangan dari segi kemudahan dan kelengkapan untuk pesakit di sini.

“Saya berharap pihak KKM dapat menyediakan kelengkapan yang sempurna di Hospital Tawau kerana ia melibatkan kepentingan awam,” katanya.