Permohonan Najib Menghadiri Parlimen Ditolak

Permohonan Najib Menghadiri Parlimen Ditolak

0
SHARE

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri parlimen dan mempunyai akses kepada pegawainya untuk berkhidmat kepada pengundinya di Pekan, Pahang.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata permohonan semakan kehakiman Najib adalah bersifat akademik selepas Parlimen ke-14 dibubarkan baru-baru ini.

“Tiada isu sebenar atau ‘live’ yang perlu diputuskan untuk mahkamah memberikan relif yang dipohon memandangkan tiada Parlimen sedia ada untuk pemohon hadir dan beliau bukan lagi ahli parlimen.

“Justeru, isu berkenaan kini sudah menjadi air di bawah jambatan dan tidak lagi wujud. Tiada arahan boleh dibuat untuk memberi kesan kepada isu itu lagi.

“Najib juga tidak akan dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang sehingga dia mendapat pengampunan…

“Undang-undang kita melarang mana-mana orang yang disabitkan bertanding untuk pilihan raya melainkan dan sehingga pengampunan diberikan atau sabitan itu dibatalkan selepas semakan.

“Saya dapati permohonan ini remeh dan menyusahkan… justeru ia ditolak,” katanya dipetik New Straits Times.

Ahmad Kamal berkata demikian dalam keputusannya terhadap permohonan semakan kehakiman Najib untuk membenarkan beliau berkhidmat di kawasannya di Pekan dan menghadiri persidangan parlimen.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 10 Okt, mengumumkan Parlimen ke-14 dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk membenarkan beliau berkhidmat di kawasannya di Pekan dan menghadiri persidangan parlimen.

Beliau menamakan kerajaan, menteri dalam negeri dan pesuruhjaya besar Jabatan Penjara sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Najib memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga untuk tidak membenarkan pemohon mengakses pegawainya bagi tujuan tugas parlimen.

Beliau juga memohon untuk menolak keputusan responden ketiga untuk tidak membenarkan beliau menghadiri Parlimen pada tarikh yang dijadualkan.

Najib, 69, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang. Dia didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.