TUJUH JAWATANKUASA MPWS DIMINTA BANTU KERAJAAN PERKASAKAN PEMBANGUNAN WANITA: KM HAJIJI

TUJUH JAWATANKUASA MPWS DIMINTA BANTU KERAJAAN PERKASAKAN PEMBANGUNAN WANITA: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama ahli-ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah bagi sesi 2023-2024 selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis MPWS bagi sesi 2023-2024 di Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Tujuh jawatankuasa yang diwujudkan di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) diminta membantu kerajaan memperkasakan pembangunan wanita di negeri ini, khususnya di luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini termasuk memperhebatkan aktiviti yang boleh meningkatkan sosio ekonomi wanita di seluruh negeri ini.

“MPWS melalui tujuh jawatankuasa ini perlu memperhebatkan usaha untuk membuat
program yang memberi manfaat kepada wanita dan yang boleh menambah sumber
ekonomi mereka.

“Saya mahu MPWS fokus kepada usaha untuk menambah sumber pendapatan merekakhususnya wanita yang terbabit sebagai peniaga atau usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Banyak bantuan disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan bagi membantu golongan peniaga di negara ini.

“Dalam hal ini, MPWS melalui jawatankuasa yang berkaitan boleh membantu
menyebarluaskan segala bentuk bantuan berkenaan kepada rakyat keseluruhannya,”
katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Angkat Sumpah Jawatan Pengerusi dan Ahli-Ahli MPWS Sesi 2023-2024 di Pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Tujuh jawatankuasa kecil yang diwujudkan di bawah MPWS iaitu Ekonomi, Pendidikan,
Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita dan Media, bertujuan menggerakkan usaha dan memajukan hala tuju dalam menyejahterakan rakyat khasnya
kaum wanita.

Mengulas lanjut, Hajiji juga mahu MPWS bertindak sebagai badan pemikir dan
pelaksana program serta dasar bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di negeri ini.

Beliau berkata ini bagi memastikan wanita di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus
pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan.

“Kita mahu wanita lebih berdaya saing dan berpengetahuan supaya mereka terus maju
serentak dengan perubahan dan pembangunan negara. Menuju ke arah itu, MPWS turut menggalas tanggungjawab berkenaan,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah pada tahun ini, untuk membiayai pelbagai program kepimpinan dan pembangunan wanita.

“Kemudahan pinjaman mikro kepada golongan wanita akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Pembangunan wanita adalah salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan kerajaan dalam konteks pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut berharap seramai 12 ahli yang dilantik menerajui MPWS bagi sesi 2023-
2024 akan memberikan sumbangan idea, masa dan tenaga untuk melaksanakan
sebaiknya agenda pembangunan wanita di Sabah.

Sementara itu, seramai 12 Ahli Induk MPWS Bagi Sesi 2023-2024 ialah Pengerusinya,
Datuk Dr Tarsiah TZ Taman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi; Timbalan Pengerusi MPWS dan Pengerusi Jawatankuasa Gender, Baiyah Ag Mahmon;
Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Datuk Noraini Idris; Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan, Datin Malianah Ugau dan Pengerusi Jawatankuasa Sosial,
Prof Madya Dr Muhammad Idris Bullare serta Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan
Media, Eliza Goh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Datuk Redonah Bahanda; Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Dr Jiloris Frederick Dony; Timbalan Pengerusi Kesihatan, Dr
Nirmal Kaur; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Prof Madya Dr Imelda Albert Gisip; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Gender, Fauziaton Ag Samd dan Timbalan pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Rosemary Ahping.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismai.