KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Selasa selepas dituduh cuba menyogok seorang pegawai polis trafik di bulatan Yayasan Sabah pada tahun lalu.
Tertuduh, Ghani Ahmad, 39 yang tidak diwakili peguam membuat perakuan tersebut di hadapan Hakim Jason Juga.
Lelaki terbabit dituduh memberikan suapan sebanyak RM650 kepada seorang pegawai polis berpangkat ASP yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 7:45 pagi 19 Jun 2022.
Menurut surat tuduhan, suapan yang cuba diberikan kepada pegawai polis adalah sebagai dorongan agar pegawai terbabit tidak mengambil tindakan selepas tertuduh memandu tanpa lesen.
Suapan itu juga agar pegawai berkenaan membebaskan seorang lelaki dalam kenderaan sama yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Kes dibicarakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah Norsham Saharom.





