Sugandoi Tuaran Kembali, Saringan Bermula April

Sugandoi Tuaran Kembali, Saringan Bermula April

0
SHARE
Sugandoi
Jawatankuasa Penganjur Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2023 ( Sumber Foto: Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran )

TUARAN, SABAH – Pertandingan Sugandoi Kaamatan Daerah Tuaran kini dibuka bagi memilih tiga pemenang utama bagi mewakili daerah tersebut ke peringkat akhir di KDCA tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran, Herman Tunggiging, berkata, beberapa minggu lalu telah diadakan mesyuarat pertama bagi memilih senarai Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Daerah Tuaran 2023.

“Perbincangan turut diselitkan dengan perkara-perkara penting berkaitan Sugandoi yang perlu diambil kira, selain penambah baikan daripada penganjuran tahun lepas,” katanya.

Tuaran merupakan daerah terawal yang dijangka mengadakan pertandingan tersebut, memandangkan tahun ini Tuaran terpilih sebagai lokasi Majlis Perasmian Pembukaan Kaamatan 2023.

Menurutnya, sesi saringan akan diadakan pada 16 April 2023 bermula jam 10 pagi, manakala peringkat akhir pada 29 April 2023, jam tujuh malam.

“Kali ini kita memilih lokasi saringan dan final kedua-duanya di Dewan Tun Hamdan Tamparuli,” katanya.

Menurut Herman, penyertaan pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2023 juga tertakluk kepada syarat-syarat peringkat Negeri seperti; peserta hendaklah seorang Warganegara Malaysia dari suku kaum KadazanDusun atau salah satu ibu/bapa atau Datuk/Nenek merupakan seorang KadazanDusun.

Selain itu, mana-mana peserta yang pernah memenangi gelaran Johan Sugandoi Dazanak, Sugandoi Terbuka atau Sugandoi Songkotoun Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada tahun-tahun sebelumnya, juga tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini.

“Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan 2023 akan diadakan di pentas KDCA mengikut SOP yang telah ditetapkan, di mana setiap Daerah akan menghantar seorang wakil ke Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri.

“Peserta hendaklah membawa sebuah lagu bebas KadazanDusun semasa Peringkat Saringan nanti,” tambahnya.

Justeru, katanya orang ramai dari daerah Tuaran adalah dijemput untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pilihan lagu adalah bebas (lagu mestilah dalam bahasa Kadazan Duzun Murut Rungus (KDMR) dan bersih daripada campur aduk bahasa lain).

Umur bagi kategori Sugandoi Terbuka ialah 18 tahun ke atas, Songkotoun (60 tahun ke atas), dan Dazanak (12 tahun ke bawah).

Hadiah bagi kategori Sugandoi Terbuka adalah wang tunai, RM2,000, Naib Juara RM1,500, Ketiga RM1,000 dan Keempat RM 800, manakala Anugerah Persembahan Terbaik akan menerima wang tunai RM300, sementara Saguhati (Kelima hingga Kelapan) bakal menerima RM400.

Hadiah Juara Sugandoi Dazanak adalah RM1,000 manakala RM800 bagi bagi Sugandoi Songkotoun.

Yuran Pendaftaran Sugandoi Terbuka dan Dazanak adalah RM30, manakala yuran Sugandoi Songkotoun adalah RM20.

Tema Pesta Kaamatan pada tahun ini ialah Mongubasanan Pisompuruan atau “membudayakan perpaduan”.

Sebarang maklumat lanjut dan bagi tujuan pendaftaran bolehlah menghubungi LP Raphiel Pinus di talian 0198131468, Joanes Robert Johnny ( 0129182206 ), Rozza Rothman ( 0168249277 ) atau Dickler Mailson  ( 0128016257 ).