Yonnyboii Serlah Sisi Rock Jiwang Dalam Single ‘Nadi’

Yonnyboii Serlah Sisi Rock Jiwang Dalam Single ‘Nadi’

0
SHARE
Yonnyboii
Yonnyboii (kanan) dan Jobranko (kiri)

KUALA LUMPUR – Seringkali tampil dengan lagu yang membawa mesej berat, penyanyi Yonnyboii tampil lagi dengan karya cukup mendalam berjudul Nadi.

Istimewanya, dia turut bergandingan dengan pemain gitar tersohor dan bekas anggota Wings, Jobranko untuk projek ini.

Yonnyboii mengakui lagu ini cukup istimewa kerana terilham dari perasaan peribadi. Dicipta bersama komposer Amy Bong, dia percaya ia mampu sentuh hati ramai.

Bagi Yonnyboii, dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam Nadi juga memberikannya satu kelegaan. Ini kerana, dia pasti ramai orang lain di luar sana turut pernah merasai perasaan sama.

“Saya mahu Nadi ini dirasa secara peribadi dalam hati pendengar. Kerana lagu ini saya tulis mengenai bagaimana saya berdepan keresahan dan ketakutan apabila berjumpa dengan orang baharu.

“Saya bimbang dan segan mahu meminta pertolongan daripada sesiapa. Saya mahu mereka yang berdepan situasi serupa dapat bangkitkan kekuatan dalam diri untuk menanganinya,” katanya.

Yonnyboii berkata mesej utama dalam lagu itu tidak lain untuk menyuntik semangat hidup kepada pendengar. Katanya, sesiapa juga pasti inginkan kebebasan daripada suatu perasaan yang gelap.

“Ia menggambarkan bagaimana saya dihantui sebuah perasaan tertentu dan mahu bebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, saya cuba mengejar kebebasan,” katanya.

Paling mengujakan Yonnyboii juga semestinya peluang bergandingan dengan Jobranko.

“Jobranko jugalah sebenarnya menjadi kekuatan terpenting dalam Nadi. Mainan gitarnya menghidupkan lagi lagu ini dan membawanya ke tahap tersendiri. Saya bangga apabila gabungan ini tercipta daripada dua generasi berbeza,” katanya.

Telah melancarkan muzik video (MV) baru-baru ini, Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim. Hakikatnya, MV itu disifatkannya cukup memuaskan.

Menurutnya, dia cuma memberikan panduan kepada Andrew bagaimana konsep diinginkan dalam kepala secara asas saja. Kepercayaan itu jelas digalas begitu cemerlang oleh pengarah terbabit.

“MV pun dilunaskan dengan begitu baik oleh Andrew dan sejujurnya saya serahkan kepercayaan itu kepadanya. Dia berjaya beri hasil yang sangat baik untuk menggambarkan isi hati saya.

“Hakikatnya, Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian, dan sebagainya.

“Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, cuma beritahu mereka konsep diinginkan iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” katanya.

Yonnyboii turut berharap Nadi mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya. Dia inginkan mesej dalam lagu ini akan berjaya membekas di hati sesiapa juga.

“Saya memang meletakkan harapan yang cukup besar terhadap Nadi. Semoga lagu ini akan digemari ramai dan mesej yang cuba saya sampaikan dapat menusuk hati ramai pendengar,” katanya.