JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas maut pada Sabtu manakala suaminya di dalam unit rawatan rapi (ICU) akibat memakan ikan buntal yang dibeli secara dalam talian melalui Facebook.
Mangsa berusia 83 tahun itu menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil selepas memakan ikan berkenaan yang telah digoreng untuk dibuat makan tengah hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, dalam sebuah kenyataan berkata pasangan yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang terbabit mula mengalami gejala pada jam 3 petang.
“Pasangan tersebut kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang pada jam lima petang oleh anak mereka yang tinggal berasingan.
“Walau bagaimanapun wanita itu telah meninggal dunia pada jam tujuh petang, manakala suaminya masih lagi menerima rawatan di ICU.
“Siasatan lanjut mendapati ikan buntal segar itu diperolehi dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.
“Sebanyak 15 kilogram ikan buntal telah dijual di sekitar Chamek (empat pelanggan), Paloh (empat pelanggan) dan Yong Peng (satu pelanggan) pada hari tersebut. Selain pasangan terbabit, kesemua pelanggan belum makan ikan berkenaan,” katanya.
Ling berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat telah mengambil sampel ikan buntal daripada semua pembeli untuk tujuan analisis.
“Sehingga kini tiada lagi laporan kes baharu berkaitan ikan buntal. Saya ingin mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui,” katanya.






