PBS Matunggong Diminta Kekal Bersemangat, Bersatu Dan Bangkit Dengan Strategi Baharu 

PBS Matunggong Diminta Kekal Bersemangat, Bersatu Dan Bangkit Dengan Strategi Baharu 

0
SHARE
Pbs
Joachim (tengah sembilan dari kiri) bergambar bersama dengan ahli PBS Bahagian N5 Matunggong, dalam Mesyuarat Agung Tahunan baru-baru ini ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

MATUNGGONG, SABAH – Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr. Joachim Gunsalam mahu PBS Matunggong kekal bersemangat, bersatu dan bangkit semula dengan strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Beliau mengingatkan jentera bahagian agar kekal bersatu dan memastikan kerjasama yang baik sesama mereka dalam usaha memenangi semula kerusi parlimen Kota Marudu dan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.

“Perpaduan dalam kepimpinan dan kalangan ahli sangat penting untuk kemenangan dalam pilihan raya dan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Matunggong di Dewan Mini KDCA Matunggong, di sini, Sabtu lepas.

Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan muda dalam parti.

“Peranan pemimpin terdahulu dihormati dan dalam masa yang sama kita turut mengalu-alukan penglibatan pemimpin muda untuk meneruskan legasi kepimpinan yang baik dalam PBS.

“Anak-anak muda perlu belajar mengikut acuan kepimpinan sederhana namun berprinsip dan setiakawan dalam perjuangan,” katanya.

Selain itu, Joachim juga menekankan pentingnya kerjasama yang baik dengan rakan-rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan negeri agar mereka boleh bersama-sama menjayakan perancangan dan sasaran dalam membangun Sabah.

Disamping itu, beliau turut mengucapkan tahniah PBS Matunggong kerana berjaya melaksanakan AGM pada tahun ini seterusnya menjadi bahagian yang pertama mengadakan AGM di seluruh Sabah yang akan berlangsung di sepanjang bulan ini sehingga penghujung bulan Mei.

Katanya, perhimpunan seperti ini dapat mengingatkan bahagian mengenai kekuatan yang ada.

“Saya dimaklumkan terdapat 133 cawangan PBS di seluruh kawasan DUN Matunggong dan 109 cawangan berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan.

“Walaupun jumlah keahlian yang besar bukanlah satu-satunya penentu kemenangan, namun kita yakin ia dapat membantu untuk menaikkan semangat PBS Matunggong untuk bangkit dan mengatur strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Memenangi semula kawasan parlimen Kota Marudu pun bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya.