
PAPAR, SABAH – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta untuk projek menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan MARA (IPMA) bagi tahun ini.
Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),
RM17 juta kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).
“Disamping itu, sebanyak RM8 juta diperuntukkan kepada Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional MARA (KPM),” katanya.
Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri itu berkata daripada jumlah terbabit, IPMA Sabah akan diperuntukkan anggaran sebanyak RM2.347 juta dan RM250,000 untuk MRSM Kota Kinabalu.
Menurutnya, peruntukan tersebut adalah untuk membaik pulih perpaipan air bersih, naik taraf sistem pencegahan kebakaran dan penggantian perabot.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra selepas sesi lawatannya bertempat di MRSM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa bangga kerana MARA dan
MRSM mempunyai standard pendidikan yang baik.
“Imej yang berprestij ini haruslah dipertahankan sebaiknya, termasuk dari segi infrastruktur dan pengisiannya,” katanya.
Disamping itu, beliau secara rasmi mengumumkan MRSM Kota Kinabalu kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman.
Dalam satu sidang media, beliau juga berkata terdapat dua lagi MRSM membabitkan MRSM Ranau dan MRSM Semporna yang akan diumumkan nama baharunya dalam tempoh terdekat ini.





