
KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes mengurangkan pegangan sahamnya dalam QPR Holdings Ltd, syarikat induk Queens Park Rangers Football Club (QPR), dan tidak lagi memegang mana-mana saham di dalamnya.
Dalam satu kenyataan semalam, Capital A berkata langkah strategik itu, yang akan membolehkan beliau menumpukan masa dan usahanya untuk mengembangkan AirAsia dan perniagaan digital Capital A, adalah sejajar dengan wawasan untuk memacu pertumbuhan dan inovasi dalam sektor-sektor penting itu.
Tony, yang membeli QPR pada 2011, berkata berpisah daripada QPR adalah satu keputusan sukar, namun ia dibuat dengan keazaman yang jelas bahawa masa dan kepakarannya diperlukan di tempat lain.
“Kini dengan AirAsia kembali beroperasi penuh dan berkembang sekali lagi, saya mengharapkan kepada Allstars (kakitangan syarikat penerbangan itu) dan pemegang saham kami untuk memberikan 100 peratus fokus saya untuk membina semula perniagaan syarikat penerbangan dan mengembangkan syarikat-syarikat digital untuk memberikan nilai yang besar kepada penduduk ASEAN, di mana terdapat permintaan kukuh bagi produk serta perkhidmatan kos rendah, bernilai tinggi,” katanya.
Tony berkata, beliau juga berhasrat untuk mengalihkan perhatian bagi menyelesaikan pelan regularisasi bagi mengeluarkan Capital A daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
“Saya teruja bahawa langkah keluar daripada PN17 bergerak dalam hala tuju yang betul. Mengukuhkan lembaran imbangan dan membina model pertumbuhan mantap dalam semua perniagaan daripada penerbangan, logistik, perjalanan dan digital fintech serta perkhidmatan penerbangan turut meningkat dengan pesat,” katanya.
– BERNAMA





