Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman Tamat Tugas di Sabah 11 September Ini

Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman Tamat Tugas di Sabah 11 September Ini

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (kanan) dan Abdul Rahman semasa sesi kunjungan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Panglima Lima Divisyen Kem Lok Kawi, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A. Wahab menamatkan tugas di Sabah bermula 11 September ini.

Beliau yang berkhidmat di Sabah sejak 4 Julai tahun lepas, akan berpindah ke Kuala Lumpur dan menjawat jawatan baru sebagai Assistant Panglima Pasukan Simpanan (APPS).

“Kunjungan hari ini bertujuan memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar bahawa saya akan bertukar ke jawatan APPS dan bertugas di Kuala Lumpur setelah berkhidmat di Kem Lok Kawi selama setahun dua bulan.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun dan kerajaan negeri atas bantuan-bantuan yang diberikan kepada pihak tentera antaranya penyediaan tapak tanah bagi pembinaan pos-pos keselamatan tentera di sepanjang sempadan, kerjasama antara kerajaan negeri termasuk PDRM menjadikan negeri ini sentiasa terjaga dari ancaman luar mahupun dalaman,” katanya.

Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu pada Jumaat.

Turut hadir, Isteri kepada Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan isteri Datuk Abdul Rahman, Datin Zarina Alif.

Abdul Rahman memaklumkan, beliau akan digantikan oleh Assistant Ketua Staf Cawangan Operasi dan Latihan Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Abdul Malek Razak Sulaiman mulai 11 September ini dalam majlis serah tugas akan diadakan di Kem Lok Kawi dan akan disaksikan oleh Panglima Medan Timur Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi. — JABATAN PENERANGAN SABAH