Enjin Kiri Pesawat Air China Terbakar, Buat Pendaratan Kecemasan Di Singapura

Enjin Kiri Pesawat Air China Terbakar, Buat Pendaratan Kecemasan Di Singapura

0
SHARE
Kapal
Enjin kiri kapal terbang Air China penerbangan CA403 terbakar dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Singapura ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular )

SINGAPURA – Seramai 155 individu di dalam sebuah pesawat Air China mengalami kecederaan ringan apabila enjin kirinya terbakar pada Ahad.

Lapangan Terbang Changi dalam satu kenyataan di Facebook berkata penerbangan CA403 terpaksa melakukan pendaratan cemas di Singapura selepas berlepas dari bandar Chengdu di barat daya China.

Katanya, asap dikesan pada ruang simpanan kargo hadapan dan tandas ketika pesawat itu dalam perjalanan ke Singapura.

“Pesawat itu mendarat kira-kira 4.15 petang waktu tempatan dan semua penumpang serta anak kapal dipindahkan dengan selamat. Api di bahagian kiri enjin sudah dipadamkan,” katanya.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) manakala berkata, pesawat itu membawa 146 penumpang dan sembilan anak kapal.

“Sembilan penumpang mengalami kecederaan ringan akibat terhidu asap dan melecet semasa proses pemindahan. Mereka sudah menerima rawatan,” katanya.

Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan sedang menyiasat kejadian itu dan menghubungi rakan sejawatan dari China untuk membantu siasatan.

Tular klip video yang menunjukkan penumpang keluar pesawat menggunakan gelongsor kecemasan untuk ke landasan.

Landasan itu ditutup seketika dan sebuah pesawat dilencongkan ke pulau berdekatan iaitu Batam di Indonesia, kata CAAS.