
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 350 orang memeriahkan acara Fun Run sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Sabah 2023.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, peserta larian terdiri daripada kakitangan jabatan, majlis dan agensi keagamaan seluruh Malaysia.
“Bagi pihak kerajaan negeri Sabah, saya mengalu-alukan kehadiran para kontinjen dari seluruh Malaysia.
“Selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan kakitangan perkhidmatan dari jabatan dan agensi keagamaan, saya juga berharap agar program ini dapat memantapkan jentera yang ada dalam jabatan agama.
“Antara acara kemuncak adalah perasmian Konvensyen IJPAM Sabah 2023 yang dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu depan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi pelepasan peserta Fun Run IJPAM Sabah 2023 di Masjid Negeri, pagi Sabtu.
Larian itu melibatkan jarak sejauh 4.5 km dan 6.6 km masing-masing bagi kategori VIP dan kategori terbuka.
Antara laluan larian adalah bermula di Majlis Negeri, Jalan Sembulan, Jalan Mat Salleh; Bulatan Jalan Aru bagi kategori umum dan Bulatan Jalan Tanjung Aru bagi kategori VIP sebelum berpatah balik melalui laluan sama dan berakhir di Masjid Negeri Sabah.
Turut sama dalam acara larian ialah Timbalan Yang DiPertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH





