
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Chan Foong Hin dilantik mengetuai Task Force Khas Ops Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT).
Tugas tersebut diamanahkan Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam sidang media khas hari ini, Chan menyambut baik pengumuman Mohamad Sabu agar harga beras putih import di Sabah dan Sarawak diserap oleh Kerajaan mulai Khamis ini (5 Okt).
“Langkah ini membolehkan beras import diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10kg di Sabah dan Sarawak memandangkan pengeluaran Beras Putih Tempatan (BPT) di wilayah-wilayah ini adalah terhad.
“OP BPT akan bertumpu kepada penguatkuasaan di semua peringkat rantaian pembekalan BPT termasuk semua kilang dan stor pemborong beras melibatkan agensi rentas kementerian,” katanya.
Jelasnya, ia melibatkan Badan Kawal Selia Padi dan Beras KPKM, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Chan berkata sampel beras juga akan diambil di semua kilang beras, di gudang-gudang pemborong dan juga di pasaraya untuk dibuat analisis kimia.
Beliau menekankan bahawa pihak Kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan beras import atau menyorokkan BPT.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk mengemukakan laporan rasmi dan butiran terperinci seperti masa dan tempat bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.





