Johor Rugi RM72 Juta Pada Scammer, Ketua Polis Turut Jadi Sasaran
JOHOR BAHRU – Nilai kerugian negeri ini kepada sindiket penipuan dalam talian, lebih dikenali sebagai scammer berjumlah hampir 72 juta ringgit berbanding 57 juta ringgit tahun sebelumnya.
Memetik laporan Buletin TV3, Johor mencatat lebih dua ribu laporan jenayah penipuan dalam talian sejak Januari hingga bulan lalu.
Jumlah itu meningkat 15.5 peratus, berbanding 1,800 kes yang dilaporkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkongsi yang beliau juga tidak terkecuali dari menjadi sasaran scammer.
“Baru-baru ini saya juga menerima panggilan daripada scammer..dia tahu number telefon saya, dia tahun alamat keberadaan saya, tapi yang peliknya dia cakap dia akan sambung kepada pegawai penyiasat.
“Kebiasaanya kita akan minta sambung kepada pegawai penyiasat, jadi hati-hati lah, scammer ini ada macam-macam taktik untuk menipu” katanya.
Kamarul berkata antara taktik terbaru yang dikesan ialah scammer akan menghantar email kepada mangsa dan mengarahkan mangsa membuat bayaran melalui nombor akaun baharu atas pelbagai alasan.
“Mangsa yang membuat bayaran akhirnya terpaksa mengangggung kerugian hingga ratusan ribu ringgit,” katanya.
Justeru beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati dan tidak melayan sebarang panggilan yang mengandungi ciri-ciri scammer.






