KOTA KINABALU, SABAH – Buat julung kalinya, kapal perang Kanada HMCS Ottawa akan berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Wayne Mitchell Robson berkata ia melambangkan harapan Kanada untuk meluaskan lagi kerjasama dengan Malaysia khususnya Sabah dalam bidang keselamatan, selain sektor pelancongan dan perdagangan.
“Kapal perang Kanada HMCS Ottawa akan berlabuh di Kota Kinabalu dan ini merupakan kali pertama ianya berlabuh di sini dan dan kami berharap dapat meningkatkan lagi kerjasama dengan Malaysia dalam aspek keselamatan dan kestabilan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, semalam.
Wayne berharap hubungan baik Malaysia khususnya Sabah dan Kanada dapat meningkatkan kerjasama serta membuka lebih banyak peluang ekonomi bagi kedua-dua negara.
“Pada hari ini (semalam), kita berpeluang untuk berbincang mengenai sektor pelancongan di Sabah yang terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan di Malaysia.
“Selain itu, perbincangan juga tertumpu kepada peluang perdagangan yang dapat dijalankan di antara kedua-dua negara khususnya di Sabah,” ujar beliau.
Terdahulu, Tun Juhar turut menerima kunjungan perpisahan Konsul Jepun di Sabah dan Sarawak Kako Shiho di Istana Seri Kinabalu.
Shiho telah berkhidmat sebagai konsul sejak 18 Januari 2019 dan akan menamatkan perkhidmatan beliau pada akhir bulan ini. — JABATAN PENERANGAN SABAH






