PETALING JAYA, SELANGOR – Polis mengesahkan pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn Bhd Goh Hwan Hua ditahan malam tadi bersama dua ahli keluarga.
Memetik sumber Free Malaysia Today, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Ramli Yoosuf berkata polis juga dapat kebenaran untuk menahan reman ketiga-tiga individu itu selama empat hari bermula hari ini.
Goh, 57, dan dua ahli keluarga ditahan di kediaman mereka di Shah Alam semalam.
Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan syarikat itu menggantung operasinya serta-merta akibat “cabaran kewangan signifikan”.





