KOTA KINABALU, SABAH – Pesta Buku Sabah 2023 membantu memperkasakan budaya membaca.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penganjuran pesta buku secara berterusan merupakan perkembangan yang positif dalam industri perbukuan.
“Pesta buku seperti ini dapat menjentik pemikiran masyarakat kita agar mengambil peluang untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan yang berkualiti.
“Selain menggalakkan budaya membaca, program ini juga merancakkan lagi ekosistem membaca yang sihat dan berterusan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
“Saya berharap agar program ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyemarakkan budaya membaca dan memperkaya minda,” katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Buku Sabah 2023 di sini, pada Khamis.
Beliau turut bersetuju dan menyokong cadangan agar Pesta Buku Sabah dijadikan sebagai salah satu program tahunan dan dimasukkan ke dalam takwim kalendar pelancongan Sabah.
Sementara itu, Arifin memaklumkan pihaknya akan bersama-sama dengan Jabatan Pendidikan dalam usaha untuk memperkasa Program Nilam.
“Terdapat pelbagai inisiatif bagi program-program pendidikan pada tahun hadapan antaranya fokus kepada program Nilam bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah.
“Sebagai Exco Pendidikan, saya akan meminta laporan semasa berhubung program nilam ini dan akan membantu memperkasakan program nilam ini melalui kerajaan negeri,” ujar beliau.
Sebanyak lebih 20 pempamer mengambil bahagian dalam Pesta Buku Sabah 2023 yang diadakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC) bermula semalam sehingga 29 Oktober ini.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Pengerusi ITCC, Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun, Pengarah Urusan ITCC, Datin Sylvia Malakun, wakil Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Ts. Dr. Kenneth Teo Tze Kin dan Pengarah Perpustakaan Negeri, Fatimah Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH





