Langkah Dubai Sia-sia, Akta Anti-Lompat Parti Larang ‘Tebuk Atap’ – Carl

Langkah Dubai Sia-sia, Akta Anti-Lompat Parti Larang ‘Tebuk Atap’ – Carl

0
SHARE
Carl
Carl Mosoom menunjukkan laporan polis terhadap anggota ‘Langkah Dubai’ ( Sumber Foto: Ihsan pejabat Ahli Parlimen Penampang )

PENAMPANG, SABAH – Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, Carl Mosoom, membuat laporan polis terhadap anggota ‘Langkah Dubai’, semalam.

Laporan itu bagi menyiasat dakwaan usaha beberapa ahli parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Carl berkata, pendedahan itu dibuat oleh penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa wujud gerakan serius dalam kalangan segelintir pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

“Langkah Dubai jelas satu tindakan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja menjejaskan sistem demokrasi berparlimen tetapi juga sia-sia kerana Akta Anti-Lompat Parti yang melarang sebarang percubaan untuk menukar Perdana Menteri dan kerajaan di tengah-tengah pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata tindakan mereka yang terlibat hanya akan memudaratkan demokrasi berparlimen dan menimbulkan keresahan orang ramai.

“Percubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti dihalang.

“Oleh itu, saya telah meminta Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat pergerakan ini, yang secara terang-terangan bercanggah dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan,” katanya.

Di bawah seksyen 124B Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan jenayah untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dengan apa cara sekalipun, secara langsung atau tidak langsung.

Kesalahan itu boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 20 tahun, manakala di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, sebarang percubaan boleh dihukum untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun.

“Oleh itu, kepada mereka yang berdegil, perlu diingatkan bahawa undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk menghukum mereka,” tegas Carl.