Restoran BTC Sabah Pertama Tawar MyMeal, Menu Terbanyak Di Seluruh Negara

Restoran BTC Sabah Pertama Tawar MyMeal, Menu Terbanyak Di Seluruh Negara

0
SHARE
Btc
Kadir (enam kanan) dalam gimik perasmian bersama wakil jabatan, kementerian dan kakitangan BTC

KOTA KINABALU, SABAH – BTC Maju Holding Sdn Bhd (BTC) menjadi syarikat Sabah pertama yang menyokong inisiatif MyMeal kerajaan sekaligus menawarkan menu terbanyak iaitu 14, di seluruh Malaysia.

MyMeal telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2023 untuk premis makanan yang boleh menawarkan hidangan seimbang karbohidrat, protein dan serat pada harga yang berpatutan.

Pengiktirafan ke arah meningkatkan sektor kesihatan negara itu adalah percuma.

Pengarah Urusan BTC, Datuk Abdul Kadir M.E Sikkandar berkata pihaknya sengaja memperbanyakkan menu agar pembeli dapat menikmati kelainan.

“Ia adalah program perintis untuk kami yang bermula sebulan lalu tetapi perancangan mengambil masa kira-kira suku tahun.

“Kami mempunyai pakar pemakanan, teknologi makanan dan pakar diet bagi menghasilkan hidangan yang layak mendapat kelulusan KKM.

“Buat masa ini, hanya cawangan Hospital Queen Elizabeth kami yang mendapat pengiktirafan tetapi kami merancang untuk berkembang ke kantin dan restoran lain pada masa hadapan,” katanya pada satu majlis di BTC Inanam Bistro pada Selasa.

Abdul Kadir berkata purata harga MyMeal ditawarkan BTC adalah RM5 sehingga RM10 yang beliau berkata cukup berpatutan.

Turut hadir, beberapa wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.