SAPP Akan Lantang Dalam Isu MA63 Menjelang PRN Akan Datang

SAPP Akan Lantang Dalam Isu MA63 Menjelang PRN Akan Datang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) memaklumkan akan lantang membawa suara beberapa isu termasuk pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (M63) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada Oktober tahun depan.

Menurut laporanĀ The Star, keputusan itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi parti dalam mesyuarat pada Sabtu lalu (20 Jan).

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee berkata, sesetengah orang berpendapat bahawa memenuhi 40 peratus hasil Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan akan melengkapkan pelaksanaan MA63, tetapi perkara tersebut hanya salah satu daripada beberapa hak Sabah yang tidak dipenuhi dalam MA63.

“MA63 termasuklah autonomi politik untuk negeri di mana parti bukan tempatan perlu menghormati autonomi Sabah dengan tidak campur tangan dalam politik Sabah.

“Autonomi dalam sistem persekutuan seperti Malaysia, bermakna Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan hari ini saling menghormati dan menerima antara satu sama lain tanpa mengira keselarasan politik di peringkat persekutuan,” katanya.

Yong Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, selain daripada Borneanisasi (penglibatan beransur-ansur rakyat Sabah, Sarawak) terhadap perkhidmatan awam dan pelantikan kehakiman, MA63 juga termasuk pengembalian semula Labuan dan laut wilayah Sabah.

“Labuan telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada 1984, manakala laut wilayah Sabah dipersekutukan oleh Akta Laut Wilayah 2012,” tambahnya.

Beliau berkata, SAPP juga mencadangkan agar satu pindaan dibuat kepada perlembagaan Sabah untuk gelaran ketua negara kembali kepada asal 1963, iaitu Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di Pertua Negara dan bukan lagi TYT Negeri.

“Satu lagi cadangan pindaan ialah, jawatan Pembantu Menteri (negeri) dinaik taraf kepada Timbalan Menteri.

“Tidak dilupakan isu teras yang dihadapi Sabah selama bertahun-tahun, SAPP akan mengangkat perkara reformasi tanah supaya hak adat anak negeri berkesan dan dihormati.

“Pelaksanaan kad pengenalan Sabah juga akan diteruskan supaya rakyat asal Sabah mempunyai dokumen pengiktirafan sebagai rakyat Sabah yang mempunyai hak dan keistimewaan terhadap tanah, lesen tempatan, biasiswa, jawatan kerajaan, serta bantuan kebajikan dan kewangan,” tegasnya.

SAPP merupakan salah satu komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merupakan kerajaan diperingkat kerajaan negeri manakala di peringkat persekutuan, SAPP adalah komponen Perikatan Nasional (Pembangkang).