
KOTA KINABALU: Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Sabah boleh menjatuhkan hukuman denda tiga ekor ternakan dan denda RM3,000 kepada lelaki Islam yang didapati melakukan kesalahan menggoda isteri orang di negeri ini.
Exco Agama Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jika inidividu atau lelaki yang didapati bersalah itu gagal menyelesaikan denda yang ditetapkan, hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan akan dikenakan.
Justeru itu, katanya, hukuman yang dikenakan MAN itu adalah lebih berat berbanding yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah di negeri ini.
“Di Sabah kita ada enakmen berkenaan dan bukan saja enakmen Syariah tapi enakmen MAN pun ada. Malah undang-undang di dalam enakmen MAN Sabah lebih besar dari segi dendanya.
“Pertama sekali mungkin saya sebutkan tiga ekor ternakan dendanya tapi kalau tidak mematuhi dia boleh dikenakan tidak lebih 18 bulan dan RM3,000 denda,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sesi taklimat di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes seumpama berlaku dan di bawa ke Mahkamah Syariah.
“Setakat ini, belum ada berlaku lagi dan kita harap mudah-mudahan kes seperti ini tidak berlaku,” jelasnya.





