Enakmen Baharu Perundangan Islam Akan Diusul Di DUN Sabah Tahun Ini

Enakmen Baharu Perundangan Islam Akan Diusul Di DUN Sabah Tahun Ini

0
SHARE
Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Beberapa enakmen baharu berkaitan perundangan Islam akan diusul ke Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada pertengahan tahun ini.

Exco Agama Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara cadangan enakmen yang akan diusul itu adalah, Enakmen Mahkamah Syariah 2024, Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dan Enakmen Pewarisan Harta Pusaka Orang Islam 2024. 

Katanya, perkara tersebut kini sedang disusun diperingkat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Negeri Sabah (JAKTUS) yang dipengerusikan oleh Peguam Besar Negeri Sabah.

 

“Dijangkakan pada tahun ini, satu atau dua cadangan akan dibentangkan dan selebihnya akan dibincangkan kelak,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sesi taklimat di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.

Sementara itu, Ariffin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Sabah akan mengadakan perbincangan dan berkolaborasi dengan Selangor khususnya dalam bidang pengurusan, pemakmuran dan pemerkasaan zakat serta wakaf.

“Mudah-mudahan selepas ini akan ada hubungan bersama dari sudut kementerian dan jabatan yang mana Selangor juga ke hadapan dalam bidang sains dan teknologi, oleh itu kita akan banyak belajar daripada Selangor,” katanya.