JEPUN: Kerajaan Jepun merancang untuk memperkenalkan empat hari bekerja dalam seminggu bagi pegawai kerajaan sebagai usaha membantu ibu yang bekerja, selain langkah ini dicadang bagi meningkatkan kadar kesuburan, lapor CNN.
Gabenor Tokyo, Yuriko Koike berkata, pengenalan polisi tiga hari cuti dalam seminggu tersebut bakal bermula pada April tahun depan.
Dalam pengumuman berasingan, pihak kerajaan turut bakal membenarkan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah pada Tahap Satu hingga Tahap Tiga di sekolah rendah untuk ‘mengorbankan’ sebahagian kecil gaji mereka untuk pulang awal.
“Kami akan mengkaji semula gaya bekerja… dengan fleksibiliti, bagi memastikan tiada siapa yang perlu meninggalkan kerjaya mereka disebabkan peristiwa kehidupan seperti kelahiran atau penjagaan anak.
“Sekarang tiba masanya untuk Tokyo ambil inisiatif melindungi dan meningkatkan kehidupan, mata pencarian dan ekonomi rakyat pada waktu yang mencabar bagi negara,” katanya.
Sementara itu, kadar kesuburan Jepun telah mencapai satu lagi tahap yang rendah pada Jun di mana kadar ini telah mengalami kejatuhan mendadak selama bertahun-tahun biarpun usaha menggalakkan golongan muda berkahwin dan memulakan keluarga telah dijalankan kerajaan.
Menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, tahun lalu menyaksikan hanya 727,277 kelahiran direkodkan. Kadar kesuburan menurun kepada paras terendah iaitu 1.2. Untuk populasi negara tersebut kekal stabil, kadar kesuburan perlu mencapai 2.1.
Antara usaha lain yang dilakukan oleh kerajaan Jepun untuk mengatasi masalah itu adalah dengan memperkasakan dasar ‘sekarang atau tidak sama sekali’. Ia termasuk memastikan lelaki mengambil cuti paterniti.
Dalam pada itu, ramai ahli sosiologi mengaitkan kadar kelahiran yang sentiasa menjunam kepada budaya kerja Jepun yang tidak bertolak ansur dan peningkatan kos sara hidup.
Waktu kerja yang memenatkan juga telah lama menjadi satu isu bagi bidang korporat di Jepun. Manakan tidak, pekerja-pekerja sering mengalami masalah kesihatan dan dalam kes yang melampau berlakunya karoshi.
Karoshi bermasud kematian yang berlaku akibat melakukan kerja secara berlebihan.
Di samping itu, peralihan kepada kerja selama empat hari juga telah mencetuskan minat yang semakin meningkat di barat. Ada beberapa kajian telah menunjukkan bahawa ia boleh meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti dalam kalangan pekerja.