Jawatankuasa Fatwa Negeri Selidik, Jika Ada Pelanggaran Akidah Dalam Organisasi GISBH di...

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selidik, Jika Ada Pelanggaran Akidah Dalam Organisasi GISBH di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah kini sedang membuat penyelidikan serta penelitian dari sudut hukum sekiranya terdapat pelanggaran akidah dalam organisasi Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini.

Exco Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya juga masih menunggu keputusan mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang akan diadakan awal Oktober ini.

“Kita masih menunggu mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri Sabah yant akan bermesyuarat awal Oktober ini. Sekarang mereka sedang membuat penyelidikan dari sudut hukum. Dari sudut lain, kita serahkan dibawah pihak berkuasa polis.

“Kita juga ada jawatankuasa bersama dengan pihak polis dan pihak yang kita sebut sebagai Jawatankuasa Penyelarasan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JaPHEIS) dimana saya pengerusinya turut akan melihat perkara atau isu-isu berhubung akidah, halal dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan seminar membangun Sabah dalam perspektif Malaysia Madani di Dewan Bahasa dan Pustala (DBP) Sabah di sini hari ini.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pihaknya juga akan turut berkongsi maklumat berkaitan dari masa ke semasa.

Semalam, tinjauan pemberita ke premis perniagaan GISBH yang terletak di Putatan dan Sembulan dilihat tidak lagi beroperasi sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, penutupan operasi itu mempunyai hubung kait dengan isu berkaitan salah laku membabitkan organisasi berkenaan yang tersebar sejak kebelakangan ini.

Tinjauan turut mendapati papan tanda perniagaan premis berkenaan turut diturunkan.